Thursday 14 May 2015

Proses Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi/Persendirian Bahagian 1



Sekarang kita telah sampai ke topik yang ditunggu tunggu. Tatacara pelaksanaan tindakan undang undang keatas peminjam yang gagal menjelaskan tunggakan ansuran bulanan. Kita akan mulakan dengan tindakan undang undang keatas peminjam yang gagal membayar hutang peribadi.

Mengapa mula dengan hutang peribadi? Kerana hutang ini yang “paling rendah martabatnya” iaitu “kekuatan” sandaran pinjaman adalah kepada individu itu sendiri iaitu pendapatan bulanannya. Kalau ada pun cagaran lain ialah penjamin kepada pinjaman itu. Bagi pinjaman kereta dan rumah, cagaran adalah kereta dan rumah itu sendiri selain dari pendapatan individu dan juga penjamin jika ada. Sebab itu selalunya pinjaman jenis ini dipanggil “unsecured loan” atau secara bebasnya diterjemahkan kepada pinjaman “tak berapa selamat”.

Dalam kes peminjam mempunyai banyak hutang dengan beberapa Bank misalnya dan telah jatuh muflis dan setelah berlakunya lelongan segala harta yang dimilikinya, keutamaan akan diberi kepada Bank pemiutang yang mempunyai cagaran dalam bentuk harta benda dan yang terakhir sekali yang akan dibayar (itupun kalau ada sisa dan “seredak” macam kuih raya) barulah diagih agihkan kepada Bank yang mempunyai “unsecured loan” ini. Selalunya “makan angin” aje lah. Perlu juga diambilkira bahawa pinjaman kad kredit juga termasuk dalam kategori “unsecured loan” dan ia hanya bergantung kepada peminjam semata mata.

Sebab itu struktur faedahnya (kad kredit) adalah sangat tinggi bersesuaian dengan risikonya. Cuma walaupun ada “had kredit” yang ditentukan misalnya RM10,000, bukan semuanya akan diberi sekaligus (melainkan kawan tu shopping sakan habiskan sampai limit) dan jika pada bulan pertama pinjaman tidak dibayar, kemudahan kredit akan disekat dan faedah yang dikenakan sangat tinggi iaitu diantara 16% hingga 18% setahun. Jadi pendapatan dari faedah ini (terutamanya dari “kaki bayar 5%”, boleh “cover” hutang tak berbayar secara amnya) Keputusan untuk mengambil tindakan undang undang agak berbeza sedikit dari pinjaman persendirian yang biasa atas dasar “pendapatan” tinggi dari faedah dan jumlah hutang yang “sesuai” untuk tindakan undang undang itu sendiri. Anda boleh lihat sendiri rasional untuk mengambil tindakan undang undang setelah melihat prosedurnya nanti kerana ada beberapa kelainan.

Satu lagi sebab kita bermula dengan pinjaman peribadi adalah kerana tatacara tindakan undang undang adalah secara “terus” atau bak kata omputeh “straightforward” kerana bagi pinjaman kereta dan rumah, ada peruntukkan undang undang yang berbeza dari segi penarikan balik kenderaan dan lelongan yang akan kita bincangkan dengan lebih terperinci kemudian. Persamaan dan hala tuju untuk mendapatkan penghakiman akhirnya adalah sama cuma ada beberapa “lencongan” yang perlu dipatuhi.

LEGALPROCESSMALAYMUKA



Struktur faedah Pinjaman Peribadi bergantung kepada Bank yang memberi hutang iaitu faedah tetap, faedah atas baki tahunan atau bulanan. Kita akan cerita beza kadar kadar faedah ini kalau dalam bahasa omputehnya “flat rate”, monthly rests” dan “yearly rests” di tajuk yang lain iaitu apa yang sebenarnya yang “berehat” atau “rehat dan rawat” dalam faedah faedah tu.

Ok sekarang kita lihat pada slide yang pertama. Kita bermula dengan situasi “happy happy” dan “gumbira” iaitu pinjaman telah diluluskan dan duit sudah “dilepaskan” dan pada tarikh itulah pinjaman itu bermula iaitu tarikh perjanjian pinjaman.
LEGALPROCESSMALAY1
Di “pendek”kan cerita, sebulan telah berlalu maka sampailah masanya ansuran pertama perlu dibayar seperti yang tertera. Dalam situasi contoh ini, kita akan memaparkan kisah suatu pinjaman yang langsung tidak berbayar untuk melihat masa yang diambil untuk mengambil tindakan undang undang sehingga ketahap mendapatkan penghakiman dan seterusnya melaksanakan tindakan penghakiman atau dalam bahasa omputehnya “Execution of Judgment” (terjemahan direct macam hukuman bunuhlah pulak). Ini adalah kerana dalam situasi sebenar ia jarang berlaku tetapi bukan tidak pernah berlaku. Dalam situasi sebenar akan ada faktor “ding dong” iaitu proses timbal balik interaksi diantara peminjam dan Bank iaitu janji janji untuk membayar yang ditepati atau dicapati, interaksi meminta “izin” ibu pejabat atau “Head Office” untuk tindakan selanjutnya, peminjam “ghaib”, cuti umum, cuti sakit dan sebagainya seperti info dalam gambar ini:
LEGALPROCESSmalayp3


Jadi selepas beberapa hari berlalu tanpa bayaran selepas tarikh “patut bayar” (tarikh “due”) Bank akan membuat panggilan telefon dan dalam kecanggihan teknologi terkini, ada yang mempunyai sistem sms dalaman dan menghantar peringatan sms sebagai cara yang “lembut” dan juga peringatan melalui surat. Kemudian kenalah tunggu hasil dari peringatan yang diberi.

Peringatan melalui panggilan telefon mempunyai berbagai reaksi dari peminjam. Ada yang jenis bersopan santun akan memohon maaf zahir dan batin kerana belum ada kesempatan membuat bayaran dan berjanji akan membuat bayaran “secepat mungkin”. Ada yang tidak “mendengarkan” apa apa reaksi, kerana langsung tak angakat telefon! Ada yang hanya berkata “Huh! Nanti cukup bulan saya bayar.. Mengapa buat agreement tengah bulan?”. Padahal dia yang tergedik gedik minta duit cepat. Dan ada yang over “sensitip” marah marah dengan dialog “Tak payah call call sayalah! Tau la orang nak bayar… Apa, Tak Percaya Ka?” dan bermacam macam “peel” lagi. Tidak se”gumbira” seperti sebulan yang lalu…
LEGALPROCESSMALAY2
S

ebulan lagi telah berlalu dan kini akaun dah masuk DUA bulan tak berbayar. Telefon dan sms lagi. Janji lagi atau langsung tak angkat telefon. Surat peringatan terakhir pun dikeluarkan. Kena tunggu lagi kut kut ada bayaran dibuat berdasarkan “janji manismu” yang telah dibuat. Bagi pegawai atau kerani yang ada inisiatif, dia akan mula membuat siasatan awal dengan meneliti beberapa maklumat yang ada dalam fail kut kut ada yang tidak kena dengan “pemerosesan” fail sebab memang bukan dia yang buat.

“Kertas Siasatan” rasmi atau “Fail Collection” belum boleh bukak lagi sebab masil terlalu awal dan masih “bersangka baik”. Denda lewat bayar beserta dengan kos sms dan surat menyurat sudah mula dikira sejak bulan pertama lagi. Masa terus berlalu dan kini sudah masuk bulan yang ketiga seperti gambar diatas. Call dan sms lagi tapi masih tiada bayaran. Biasanya tunggu beberapa hari lagi sebelum mengambil tindakan seterusnya iaitu memulakan proses undang undang yang lebih “serius” iaitu mengeluarkan arahan kepada peguam untuk memberi surat tuntutan atau “Letter/Notice of Demand”. Pihak Bank berharap dengan surat ini sudah cukup untuk membuatkan peminjam merasa takut dan gundah gulana.

Tetapi sebelum mengeluarkan surat arahan ini, bergantung kepada polisi sesesuatu Bank, adalah perlu untuk mendapatkan kelulusan “bos” samada Pegawai Atasan, Pengurus Bank, ataupun “Head Office”. Ini adalah kerana proses tindakan undang undang melalui peguam memerlukan penambahan kos kepada Bank. Kalau denda lewat bayar tak payah buat apa apa, komputer yang akan kira dan ini merupakan “pendapatan angin” tambahan bagi Bank. Tindakan undang undang yang pertama ialah dengan Surat Tuntutan yang dikeluarkan oleh peguam yang pada masa sekarang “menelan” belanja antara RM30 hingga RM50 atau lebih bergantung kepada sesuatu firma guaman. Kenapa mahal? Sebab ada “Letter Head” peguam atau “loyar”. Masa saya kerja dulu lagi mahal dari RM75 hingga RM100 sebab dulu kebanyakan peguam lulusan “obersea” dan cakap omputeh je. Surat pun cakap omputeh jadi peminjam yang sepatah haram tak tahu cakap omputeh akan “blur” bila dapat surat. Yang dia tahu surat dari peguam dan ini menambahkan rasa “gerun” sebab tak faham apa benda isi surat tu.

Zaman sudah berubah. Dengan bertambahnya universiti tempatan menawarkan kursus undang undang terumanya UIA, maka ramailah bilangan peguam dan firma guaman maka dengan teori ekonomi “supply and demand” dan bertambahnya saingan maka kos surat loyar telah banyak dikurangkan. Itupun mahal lagi sebab kos sebenar tak sampai RM3.00 hingga RM5.00 termasuk kos surat berdaftar. Tapi kita kena kira “kos professional” la pulak. Loyar tu. Kalau tak, sia sia lah diaorang menghafal prosedur undang undang masa belajar kan. (cover line sikit, nanti marah pulak kawan kawan loyar)

Berbalik pada si Kerani atau Pegawai Bank tadi. Kena tunggu lagi. Akhirnya apabila mendapat kelulusan untuk meneruskan tindakan guaman, surat arahan pun akan dikeluarkan. Ada Bank yang canggih sistemnya akan mengarahkan peguam secara “online” dan kakitangan pejabat peguam akan “log in” untuk menyemak status arahan. Rasanya peguam yang kena bayar untuk “servis” ini. Hmm… kena lagi loyar kita… Proses “ding dong ini akan memakan masa dan mungkin terlajak sehingga bulan seterusnya…

LEGALPROCESSMALAYP4
Surat peguam biasanya memberi tempoh 14 hari kepada peminjam untuk memberi maklumbalas atau bayaran dan pada bulan keempat (bergantung kepada faktor “ding dong”) atau pada tahap tunggakan 4 (empat) bulan, pihak Bank sudah boleh membuat keputusan selanjutnya. Sekiranya tiada bayaran diterima, Bank akan mengarahkan peguam untuk memfailkan saman terhadap peminjam (faktor “ding dong” seperti yang ditunjukkan dalam gambar iaitu meminta kebenaran pihak atasan, masa untuk untuk mengeluarkan arahan dan masa untuk menyediakan dokumen untuk tindakan saman sekali lagi perlu diambilkira) Dokumen yang perlu disediakan oleh pihak Bank ialah segala alamat surat menyurat peminjam dan penjamin (jika ada) dan suatu penyata tuntutan menyenaraikan baki hutang, denda lewat bayar dan lain lain kos seperti kos setem pos dan tak lupa juga kos surat loyar. Pada tahap ini, perjanjian diantara Bank dan peminjam akan ditamatkan dan Bank akan meminta semua baki hutang yang tertunggak.


BERSAMBUNG…

1 comment:


  1. Hello Pelanggan,
    Pembiayaan Pakar Adalah penyelesaian pembiayaan yang pasti yang menawarkan semua jenis Perniagaan Besar/kecil dan pinjaman peribadi daripada $5,000 hingga 250,000 atau lebih dengan kadar faedah yang berpatutan sebanyak 2% tanpa penalti pembayaran balik awal atau lewat, kelulusan 24 jam.

    Tawaran istimewa
    Sila hubungi kami hari ini
    melalui E-mel: expertinfoq@gmail.com

    ReplyDelete